Pernah dengar tentang kematu? Dalam artikel ini akan diterangkan bagaimana kematu biasa itu boleh jadi luka kematu yang berbahaya untuk pesakit kencing manis.
Kematu, atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai corn dan callus, adalah lapisan kulit keras menebal yang terbentuk apabila kulit kita mengalami geseran atau tekanan yang berpanjangan.
Bagaimana Kematu Terbentuk?
Kematu terjadi disebabkan tekanan dan geseran yang selalu berlaku pada bahagian kulit yang sama. Selalunya ia berlaku pada bahagian kulit dimana tulang lebih menonjol seperti di buku lali.
Apabila sel kulit dibahagian tersebut selalu menerima tekanan dan mengalami kerosakan, growth factor akan dilepaskan ke kawasan tersebut untuk memperbaiki tisu yang rosak.
Oleh itu, sel kulit akan membiak secara berlebihan hingga terjadinya penebalan kulit. Kulit yang tebal inilah dipanggil sebagai kematu (Corn ataupun Callus)
Ia ibarat satu mekanisma perlindungan kulit kita supaya boleh adaptasi dengan geseran atau tekanan yang sentiasa dihadapi.
Punca Kematu Terbentuk
Kematu tidak datang begitu sahaja.
Seperti mana kita tahu, kematu terbentuk disebabkan geseran atau tekanan yang berpanjangan pada kulit. Berikut adalah beberapa situasi yang boleh menjadi punca tersebut:
#1 Kasut Tidak Sesuai
Ini adalah punca paling lazim. Kasut yang terlalu ketat, terlalu longgar, atau kasut tumit tinggi menyebabkan geseran dan tekanan berlebihan pada kaki.
#2 Posisi Kaki Tidak Normal
Perubahan pada struktur kaki seperti bunions (benjolan pada pangkal ibu jari kaki) atau jari kaki yang membengkok (hammer toes) boleh menyebabkan geseran pada bahagian-bahagian tertentu.
#3 Aktiviti Harian
Berjalan atau berdiri dalam tempoh yang lama, terutamanya pada permukaan yang keras, boleh meningkatkan risiko kematu.
Kematu ni sering dianggap remeh kerana biasanya ia tidak sakit.
Namun tidak untuk pesakit kencing manis, kematu boleh menjadi punca terjadinya luka baharu. Malah, ada yang menjadi lebih teruk sehinggak terpaksa dipotong!
Bagaimana Luka Kematu (Ulcer) Terjadi?
Proses ini berlaku secara senyap dan bahaya. Kematu, yang pada mulanya hanyalah kulit yang keras, boleh menjadi satu tompok yang sangat tebal. Jika tekanan pada kawasan itu tidak dikurangkan, kematu yang tebal ini boleh menekan tisu lembut di bawahnya.
Tekanan berterusan ini boleh merosakkan tisu dan saluran darah, akhirnya menyebabkan luka terbuka (ulser) terbentuk di bawah lapisan kematu yang keras. Oleh kerana pesakit kencing manis biasanya tidak merasa sakit, luka ini tidak disedari sehingga ia dijangkiti kuman.
Apabila jangkitan berlaku, ia boleh merebak dengan cepat ke tisu, tulang, dan sendi. Dalam keadaan yang sangat teruk, amputasi (pemotongan kaki) mungkin menjadi satu-satunya pilihan untuk mengelakkan jangkitan daripada merebak ke seluruh tubuh dan mengancam nyawa.
Rawatan untuk Kematu dan Luka
Pertama sekali, jangan sesekali cuba potong kematu sendiri menggunakan pisau atau alat tajam lain kerana alat anda tidak bersih (sterile). Jika tidak, anda boleh menyebabkan bakteria masuk ke bahagian luka tu nanti.
Lebih bahaya jika anda mempunyai masalah hilang deria rasa (neuropati) dan peredaran darah. Luka yang anda alami akan jadi lambat semubuh dan mudah merebak.
Rawatan yang sesuai untuk kematu yang luka adalah:
#1 Dapatkan Rawatan Profesional
Berjumpalah dengan doktor yang akan menggunakan alatan steril untuk membuang lapisan kematu yang tebal dan membersihkan luka di bawahnya dengan selamat.
#2 Kurangkan Tekanan
Gunakan kasut yang lebih selesa dan bersaiz sesuai. Doktor mungkin akan mencadangkan penggunaan tapak kasut yang khas untuk mengagihkan tekanan secara lebih sekata.
#3 Pengurusan Luka
Luka akan dibersihkan dan dibalut dengan betul untuk mengelakkan jangkitan. Antibiotik mungkin diperlukan jika jangkitan sudah berlaku.
Kesimpulan
Setelah memahami punca dan implikasi terjadinya kematu, apakah tindakan yang perlu diambil bagi mencegah kematu menjadi lebih parah?
Langkah paling utama adalah kurangkan geseran atau tekanan pada tempat kematu berlaku.
Jika kematu pada kaki, mungkin boleh pilih kasut yang selesa, lembut, dan mempunyai ruang yang cukup untuk jari kaki anda. Elakkan kasut tumit tinggi, kasut yang ketat atau kasut yang runcing.
Gunakan losyen pelembap untuk mengelakkan kulit menjadi kering dan merekah. Itu pun bukan sembarangan losyen anda boleh gunakan. Dapatkan nasihat doktor losyen yang sesuai dan tepat untuk masalah anda.
Jika sudah nampak ada luka pada kematu, cepat-cepat jumpa doktor untuk dapatkan rawatan selanjutnya.